Thursday, December 17, 2009

106 korban ribut Greg

KOTA KINABALU 26 Dis. - Sekurang-kurangnya 88 orang terbunuh sementara lebih 100 yang lain dilaporkan hilang dalam kejadian serangan ribut kencang Greg yang melanda kawasan Pantai Barat Sabah malam tadi.

Ini merupakan kejadian ribut paling buruk pernah berlaku dan mengakibatkan jumlah kematian mangsa ribut yang terbesar di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Maizan Shaari ketika dihubungi berkata, sehingga pukul 7 malam ini, pihaknya telah menerima laporan mengenai penemuan 88 mayat - 78 di Keningau, empat di Tuaran, empat di Kota Kinabalu dan dua orang di Papar.

Katanya, jumlah berkenaan dikhuatiri meningkat berikutan lebih 100 orang yang dilaporkan hilang sejak awal pagi tadi masih belum dijumpai.

"Sehingga kini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti,'' katanya.

Menurut beliau, perhubungan jalan darat dan telekomunikasi yang kurang memuaskan di antara Kota Kinabalu dan Keningau turut menyukarkan penyaluran maklumat dengan lebih pantas.

Bagaimanapun, bantuan helikopter dari Pangkalan Tentera Udara di Labuan telah dihantar ke Keningau untuk tugas memindah dan menyelamatkan mangsa.

Turut terlibat dengan kerja-kerja menyelamat ialah Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, anggota tentera, Pasukan Polis Hutan Batalion 16 dan anggota polis tugas am.

Difahamkan bahawa kebanyakan mereka yang terkorban dipercayai kerana dihempap atap dan bumbung rumah sementara yang lain disebabkan lemas selepas dihanyutkan air.

Mangsa-mangsa yang masih gagal ditemui kebanyakannya dilaporkan hilang semasa keluar menangkap ikan di laut.

Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee yang meninjau dari udara keadaan sekitar ibu negeri menyifatkan ribut kencang yang melanda kawasan Pantai Barat Sabah itu adalah antara yang terburuk pernah melanda negeri ini.

"Saya juga melihat bot-bot dan kapal-kapal kecil tenggelam di beberapa tempat di sini serta banyak rumah musnah sama sekali ataupun bumbung telah hilang akibat ribut ini,'' katanya.

Yong berkata, Jawatankuasa Bencana Alam Negeri telah digerakkan serta merta dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Datu Khalil Datu Jamalul telah mengarahkan semua jawatankuasa serupa di peringkat daerah di pantai barat negeri untuk digerakkan.

Beliau menasihatkan penduduk agar sentiasa mendengar pengumuman dari radio atau televisyen sebagai langkah bersedia menghadapi serangan ribut itu yang hanya dijangka berakhir sekurang-kurangnya 24 jam lagi dari hari ini.

Bencana buruk itu juga menyebabkan bekalan elektrik, komunikasi dan perhubungan darat di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Sabah terputus kerana mengalami kerosakan teruk.

Tinjauan Utusan mendapati sekurang-kurangnya enam buah kapal terdampar di kawasan pantai manakala 12 buah bot menangkap ikan terbalik dalam kejadian ribut kencang itu.

Sementara bumbung serta atap beratus-ratus buah rumah, pokok-pokok dan papan-papan iklan di sekitar bandar Kota Kinabalu turut musnah diterbangkan angin ribut.

Turut mengalami kerosakan ialah bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, Yayasan Sabah serta tiang-tiang lampu limpah di Stadium Likas.

Di Keningau, Pegawai Daerahnya, Louis Rampas berkata, kira-kira 500 rumah di sembilan kampung sepanjang sungai-sungai Pampang, Bayayo, Liawan dan Sinagang telah hanyut, mengakibatkan kira-kira 3,000 orang hilang tempat tinggal.

Keningau yang juga terputus hubungan dengan Nabawan, kini terputus hubungan pula dengan Kota Kinabalu kerana dua jambatan yang merintangi Sungai Liawan dan Sungai Pegalan dihanyutkan banjir.

Laporan terbaru yang diterima juga menyatakan jalan raya Kota Kinabalu - Tambunan terputus apabila jalan di Gunung Emas berdekatan dengan sebuah pusat peranginan tanah tinggi runtuh petang ini.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Tan Chen Kok ketika dihubungi berkata, ribut yang melanda kawasan Pantai Barat Sabah kini dilaporkan semakin reda dan sedang menuju ke arah Pantai Timur negeri ini.

Menurut beliau, ribut kencang yang berlaku semalam melanda kawasan Labuan, Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Beaufort dan beberapa kawasan di utara daerah Kudat.

Ribut itu adalah berikutan angin tropika Greg yang bertiup selaju lebih 50km sejam dari arah Laut China Selatan ke pantai barat Sabah dan utara Sarawak.

Menurut kenyataan itu lagi keadaan laut juga bergelora dengan ombak setinggi 3 hingga 5 meter.

Bagaimanapun angin kencang itu reda sejak pagi ini dan hampir kesemua kawasan di pantai barat Sabah hanya dilaporkan mendung dan tidak hujan sehingga tengah hari ini.

Sementara itu Bernama melaporkan seorang pegawai pengambilan rekrut dari Mindef Kuala Lumpur yang kebetulan berada di Keningau sejak semalam memberitahu, tidak kurang 50 buah rumah dekat pekan itu hanyut manakala kira-kira 60 kenderaan juga dilihat dihanyutkan banjir.

Kapt. Mohd. Yazid Abdullah berkata beliau sendiri mengeluarkan tiga mayat perempuan dewasa yang tersepit di celah-celah pokok, dipercayai dihanyut banjir, di tepi Sungai Pampang kira-kira 1 km dari pekan Keningau pada awal pagi.

"Pagi tadi saya sendiri melihat seorang mangsa yang berpaut pada balak sedang dihanyut banjir meminta tolong tetapi saya tak dapat berbuat apa-apa,'' katanya.

Bandar Kota Kinabalu yang terletak di tepi Laut China Selatan juga menyaksikan banyak papan tanda iklan ranap dan sampah sarap seperti potongan beluti dan papan berhamburan di sana sini dipercayai dibawa terbang oleh ribut yang mengamuk malam tadi.

Beberapa jalan utama di bandar ini mengalami kesesakan teruk akibat serangan ribut itu.

Di Kuala Lumpur, Ketua Unit Pengurusan Krisis Bencana, Bahagian Keselamatan Negara, SAC Mohamad Noor Hammad berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) sedang bersedia bagi kemungkinan dihantar ke Sabah untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Dua puluh empat anggota Smart kini bersedia untuk dihantar ke sana. Bagaimanapun sehingga kini kami masih memastikan perkembangan di negeri itu sama ada memerlukan khidmat Smart atau tidak,'' katanya.


notakaki: 230 kematian, 4925 rumah rosak

0 comments:

Post a Comment